Rasulullah Sollallahualaihiwasallam telah mengutuskan segerombolan  tentera bagi menyerang Rom sebagai menuntut bela atas kematian Al-Harith  bin 'Umair Al-Azdiy radiyallahuanhu yg ditugaskan sebagai utusan  Baginda kepada pemerintah Busra. Baginda telah menamakan 3 orang  panglima. Panglima pertama, Zaid bin Harithah radiyallahuanhu. Jika  gugur, maka Jaafar bin Abi Talib radiyallahuanhu. Jika gugur, maka  Abdullah bin Rawahah radiyallahuanhu. Perang ini dikenali dengan  Peperangan Mu'tah. 
Pasukan tentera Muslimin yg berjumlah 3 ribu orang akan berhadapan  dengan sejumlah 150 ribu tentera Rom dan golongan Kristian Arab. Perang  meletus. Zaid bin Harithah radiyallahuanhu gugur syahid. Panji dipegang  pula oleh Jaafar bin Abi Talib radiyallahuanhu sebagaimana yg  diperintahkan Baginda. Lalu, Jaafar radiyallahuanhu juga terbunuh  syahid. Lantas, Abdullah bin Rawahah radiyallahuanhu pula  menggantikannya. Akhirnya , beliau juga syahid. Hampir sahaja tentera  Muslimin berundur ke belakang sehinggalah 'Uqbah bin 'Amir  radiyallahuanhu [1] menyeru, "Wahai kaum, sesungguhnya seorang manusia  yg terbunuh dalam keadaan berhadapan dengan musuhnya lebih mulia  daripada yg mati terbunuh membelakangi mereka." Tentera Muslimin kembali  thabat. 
Mereka sepakat melantik Khalid Al-Walid radiyallahuanhu untuk  menjadi panglima perang menggantikan panglima terakhir. Amanah berat itu  terpaksa ditanggungnya. Pada hari itu, beliau menyerang musuh penuh  berani. Keesokannya, beliau yg terkenal dengan pakar strategi perang  sejak di alam jahiliyah lagi telah menukar susunan tenteranya. Yang  menunggang diarahkan supaya menggantikan kedudukan tentera yg berjalan  kaki. Yang berjalan kaki pula diperintahkan menunggang kuda. Yang di  sebelah kanan bertukar ke sebelah kiri. Yang kiri pula ke bergerak ke  sebelah kanan. Maka, tentera Rom gentar kerana menyangka bahawa tentera  bantuan telah tiba untuk menolong tentera Muslimin. Kehandalan dan  kemahiran Khalid dalam ketenteraan tidak dapat disangkal lagi. 
Setelah 7 hari bertempur, akhirnya tentera Rom berundur mengalah.  Tentera Muslimin pula pulang ke Madinah. Sebelum berita kematian  ketiga-tiga panglima sampai ke telinga Baginda, wahyu dari langit telah  pun mendahului. 
Baginda bersabda, 
"Zaid memegang panji lalu terbunuh. Kemudian, Jaafar pula  memegangnya lalu terbunuh. Kemudian, Ibnu Rawahah pula memegangnya lalu  terbunuh." Air mata Baginda mengalir. Kemudian Baginda berkata,  "Sehinggalah panji dipegang oleh sebilah pedang daripada pedang-pedang  Allah hingga Allah memberi kemenangan kepada mereka." Riwayat Bukhari. 
Ketika tentera tiba di Madinah, penduduk Madinah memanggil mereka,  "Wahai orang-orang yg lari dari medan perang..." kerana menyangka bahawa  berundurnya Khalid dan tentera sebagai satu kekalahan sedang Baginda  pula menganggap itu sebagai strategi lalu bersabda, "Bahkan mereka ialah  orang-orang yg mara...". Baginda juga memuji kehandalan Khalid  Al-Walid. 
Hikmah kematian Khalid Al-Walid radiyallahuanhu di atas pembaringan 
Sebahagian dari kita tertanya-tanya, mengapakah Khalid  radiyallahuanhu mati di atas pembaringan sedangkan beliau telah  menyertai peperangan yg teramat banyak? Mengapa Khalid radiyallahuanhu  tidak terpilih mati sebagai syahid? 
Para ulama kita menjawab dengan penuh bijaksana, "Pedang Allah  (Saifullah) tidak akan sama sekali patah." Jika Khalid syahid di medan  tempur, ini akan menjadi hujah kepada musuh Islam bahawa pedang Allah  juga mampu untuk dikalahkan. 
Mudah-mudahan anak buah saya yg baru lahir ini, Ahmad Saifullah  mewarisi kewibawaan dan ketokohan Sayyiduna Khalid bin Al-Walid  radiyallahuanhu yg bermati-matian memperjuangkan Islam tanpa mengenal  erti penat dan lelah. Ya Allah, himpunkan kami bersama-sama mereka. Amin
 
No comments:
Post a Comment